--> Qurban FAQ - QurbainAid

Persoalan Qurban

Penerangan mengenai Ibadah Qurban dan perkhidmatan QurbanAid

Pengenalan Qurban
  • arrow_drop_downApakah maksud ibadah Qurban?
    Qurban bermaksud menyembelih haiwan tertentu pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijah) dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
  • arrow_drop_downApakah jenis-jenis ibadah Qurban?
    Qurban Sunat : iaitu menyembelih binatang ternakan yang tertentu dengan niat taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah S.W.T pada Hari Raya Aidiladha.

    Qurban Nazar : iaitu apabila seseorang itu berniat bahawa jika dia mendapat yang dihajatinya dia akan menyembelih haiwan Qurban, maka wajiblah ke atasnya menunaikan nazarnya itu.
  • arrow_drop_downSiapakah golongan yang dianjurkan untuk melaksanakan ibadah Qurban?
    1. Beragama Islam
    2. Merdeka (Bukan golongan hamba)
    3. Berakal
    4. Baligh ( Dewasa)
    5. Berkemampuan untuk melaksanakannya
  • arrow_drop_downBolehkah Qurban dilaksanakan untuk orang yang sudah meninggal dunia?
    Boleh, jika Qurban itu diwasiatkan maka wajib dilaksanakan. Sekiranya tidak diwasiatkan, waris juga boleh melakukan ibadah Qurban dan diniatkan kepada yang sudah meninggal dunia.
  • arrow_drop_downBolehkah dalam niat Qurban disertakan sekali dengan niat Aqiqah?
    Tidak boleh. Dalam Kitab Tuhfah dan Al-Fatawa Al-Kubra, Ibn Hajar Al-Haitami menyatakan bahawa: "Jika seseorang itu berniat ibadah Qurban dan Aqiqah ke atas seekor kambing sekali gus maka kedua-duanya dianggap sebagai batal." Ini kerana Qurban dan Aqiqah mengandungi makna sunat yang tersendiri.
Hukum & Hikmah Ibadah Qurban
  • arrow_drop_downApakah hukum melaksanakan ibadah Qurban?
    Sunat Mu’akkad iaitu sunat yang dituntut melakukannya.
  • arrow_drop_downHikmah dan fadhilat melakukan ibadah Qurban?
    1. Untuk mendekatkan diri kepada Allah dan sebagai tanda kesyukuran-Nya.
    2. Menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim A.S.
    3. Ibadah Qurban yang dilakukan dapat meringankan beban fakir miskin.
    4. Ikhtiar untuk meringankan beban dan menyelesaikan masalah.
Umum Qurban
  • arrow_drop_downBolehkah saya menggunakan duit bantuan untuk membuat Qurban?
    Boleh. Tiada masalah.
  • arrow_drop_downBolehkah saya melaksanakan ibadah Qurban untuk anak saya tetapi tidak memberitahunya?
    Seseorang yang berqurban perlu sedar mereka sedang melaksanakan ibadah Qurban. Ini kerana ibadah Qurban memerlukan niat yang sengaja dan disertai dengan rasa kepatuhan kepada Allah S.W.T. Oleh itu, sebaik-baiknya anak dimaklumkan bahawa mereka juga berqurban jika ibadah Qurban dilaksanakan untuk mereka.
  • arrow_drop_downAdakah ibadah Qurban hanya perlu dilaksanakan sekali seumur hidup?
    Qurban boleh dilaksanakan setiap tahun untuk merebut fadhilat yang telah dijanjikan.
  • arrow_drop_downBolehkah seseorang mewakilkan pihak tertentu untuk melaksanakan Qurban bagi pihaknya di tempat lain?
    Mewakilkan penyembelihan Qurban kepada pihak lain adalah suatu yang dibenarkan oleh agama bagi memudahkan amalan dan budaya tersebut diamalkan oleh umat Islam seluruhnya.
  • arrow_drop_downBolehkah sebahagian daging Qurban atau kulit haiwan Qurban diberikan sebagai upah kepada tukang sembelih?
    Islam tidak membenarkan kita membayar upah kepada tukang sembelih haiwan Qurban dengan daging mahupun kulit haiwan Qurban tersebut. Maka seseorang perlu membayar upah tersebut daripada sumber lain yang dimiliki.
  • arrow_drop_downBolehkah berkongsi seekor lembu untuk ibadah Qurban?
    Boleh, kita dibenarkan berkongsi sehingga tujuh orang atau tujuh bahagian bagi seekor lembu atau unta.
  • arrow_drop_downBolehkah saya berqurban hanya satu bahagian lembu untuk satu keluarga?
    Tidak boleh kerana ada hadith menyatakan Nabi S.A.W. menyembelih seekor unta dan seekor lembu untuk tujuh orang atau bahagian sahaja. Tetapi, jika hanya mampu laksanakan satu bahagian sahaja, maka diharuskan meletakkan nama ketua keluarga dan diniatkan pahala Qurban kepada semua ahli keluarga.
  • arrow_drop_downBolehkah seseorang melaksanakan Qurban jika menanggung beban hutang?
    Hutang yang membebankan diri sehingga tidak mampu untuk membeli makanan atau barangan asas hidup maka tidak perlu untuk dia membuat korban.
  • arrow_drop_downBolehkah saya melaksanakan Qurban tetapi tidak melihat sembelihan?
    Tiada masalah jika tidak melihat sembelihan bagi orang yang mewakilkan kerana melihat sembelihan Qurban adalah satu amalan sunat untuk orang yang berqurban.
Jenis-Jenis Haiwan Qurban
  • arrow_drop_downApakah jenis haiwan yang dibolehkah untuk berqurban?
    1. Unta (lebih 5 tahun).
    2. Lembu atau kerbau (lebih 2 tahun).
    3. Kibas, biri-biri, kambing atau domba (lebih 1 tahun).
  • arrow_drop_downBolehkah seseorang menyembelih seekor burung untuk Qurban kerana tiada kemampuan menyembelih lembu atau kambing?
    Kita tidak diberi pilihan bagi menyembelih haiwan selain dari yang telah ditentukan syarak kerana ia bertujuan mendapatkan ganjaran yang terbaik yang dijanjikan oleh Allah S.W.T.
Syarat-Syarat Haiwan Qurban
  • arrow_drop_downApakah syarat sah haiwan ternakan?
    1. Hanya haiwan ternakan sahaja yang sah untuk dijadikan Qurban. Tidak sah jika haiwan liar dijadikan Qurban.
    2. Haiwan yang dipilih hendaklah sihat dan bebas dari sebarang penyakit.
    3. Haiwan Qurban juga tidak ada sebarang kecacatan dan tidak terlalu kurus.
    4. Haiwan yang cukup umur.
  • arrow_drop_downBerapa kadar bagi binatang Qurban?
    Seekor kambing atau biri-biri merupakan kadar minima ibadah Qurban yang cukup untuk satu keluarga. Manakala, seekor lembu atau unta boleh dikongsi tujuh orang.
Waktu Pelaksanaan & Adab Ibadah Qurban
  • arrow_drop_downBilakah waktu yang dibolehkan untuk menyembelih haiwan Qurban?
    Waktu yang dibolehkan untuk menyembelih haiwan Qurban ialah selepas solat Aiidiladha pada 10 Zulhijjah sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah. Qurban tidak sah dilakukan pada malam sebelum Hari Raya (10 Zulhijjah) dan pada malam 14 Zulhijjah.
  • arrow_drop_downAdakah sah ibadah qurban saya jika tanpa niat Qurban?
    Tidak sah, kita disyaratkan melaksanakan ibadah Qurban dengan niat kerana setiap ibadah dinilai berdasarkan niatnya.
  • arrow_drop_downApakah perkara yang disunatkan ketika berqurban?
    - Menambat ternakan Qurban.
    - Memberi makan kepada haiwan Qurban.
    - Melakukan penyembelihan Qurban dengan sendiri.
    - Bermula dengan Bismillah.
    - Selawat dan salam kepada Nabi S.A.W.
    - Menghadap kiblat.
    - Memilih haiwan yang paling baik.
    - Proses penyembelihan dilakukan dengan tepat dan cepat supaya tidak menyeksakan haiwan qurban.
    - Orang yang melakukan Qurban disunatkan tidak bercukur dan tidak memotong kuku setelah tiba bulan Zulhijjah sehingga selesai berqurban.
  • arrow_drop_downApakah syarat alat penyembelihan?
    Alat penyembelihan hendaklah tajam, bukan menggunakan alat yang tumpul, tulang dan gigi haiwan.
Pembahagian Daging Qurban
  • arrow_drop_downBolehkah daging Qurban wajib/nazar dimakan orang yang berqurban?
    Tidak boleh. Ini kerana semua daging Qurban tersebut hendaklah disedekahkan kepada yang berhak menerimanya.
  • arrow_drop_downBagaimanakah cara pembahagian untuk qurban sunat?
    Menurut pandangan ulama mazhab Syafi'i:
    - 1/3 dimakan oleh pihak yang berqurban dan ahli keluarganya;
    - 1/3 disedekahkan kepada fakir miskin;
    - 1/3 dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.
  • arrow_drop_downBolehkah menjual daging Qurban?
    Tidak boleh kerana bertentangan dengan tujuan dan matlamat yang digariskan.
  • arrow_drop_downApakah hukum memberi daging Qurban kepada orang bukan Islam?
    (Jawapan belum disediakan)
Mengenai QurbanAid
  • arrow_drop_downKenapa QurbanAid melaksanakan Qurban di luar negara dan bukan di Malaysia?
    QurbanAid diwujudkan untuk menyediakan alternatif ibadah Qurban dengan kos yang lebih berpatutan. Memandangkan harga sebahagian lembu didalam negara mencapai RM600, QurbanAid menjadi medium untuk menggalakkan umat islam menjalankan ibadah dan membantu kelompok Islam yang lebih memerlukan dalam tempoh yang sama.
  • arrow_drop_downBagaimana saya nak pastikan ibadah Qurban saya telah dilaksanakan?
    Video dan gambar pelaksanaan Qurban akan dimuat-naik ke media sosial QurbanAid bergantung kepada keadaan pelaksanaan. Kebiasaanya, ibadah Aqiqah lebih mudah dirakamkan berbanding ibadah Qurban. Pihak QurbanAid tidak menjanjikan setiap penyertaan disertakan dengan bukti video.

    Walaubagaimanapun, pihak pengurusan QurbanAid akan memastikan setiap penyertaan dilaksanakan dengan baik dan bertanggungjawab. Pihak yang melaksanakan ibadah disetiap negara sasaran QurbanAid dipantau dalam setiap tempahan.
  • arrow_drop_downKenapa harga lembu dan kambing di QurbanAid lebih murah?
    Harga haiwan ternakan di negara luar adalah lebih murah dibandingkan di dalam Malaysia. Oleh itu, kami membuka peluang untuk mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan dan masa bersama-sama merebut peluang menjalankan ibadah Qurban.